Sunday, September 9, 2012

Apakah sebenarnya Give Back Project?

Program Give Back 2012 merupakan suatu projek amal kebajikan yang di anjurkan oleh Persatuan  Penang  Medical College Students Association (PMCSA) di Royal  College of Surgeons in Ireland (RCSI). Ini merupakan projek perintis PMCSA bagi mendekatkan diri kami (pelajar perubatan) dengan masyarakat, serta menyatukan dan menyokong insan yang memerlukan sama ada dari segi kewangan, pendidikan, kesihatan  dan  sebagainya  tanpa  mengira  latar belakang agama,bangsa dan budaya.  

Misi  utama projek  ini  adalah  untuk  membantu  anak  yatim  serta  insan  yang  memerlukan. Kami telah memilih Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah sebagai peserta program pada kali ini. Kami telah merancang untuk mengadakan Kem Motivasi yang dinamakan “Kem 1 Love 1 Heart” bagi menjana dan membangkitkan momentum motivasi pelajar untuk terus berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik dan kokurikulum tetapi dalam aspek pembinaan sahsiah dan disiplin juga.

Selain itu, kami juga akan mengadakan aktiviti Basic Life Support (BLS) dan program kesihatan di  Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Temerloh  Jaya.  Kami  percaya  bahawa  aktiviti  BLS  dan  program kesihatan  ini dapat  meningkatkan  pengetahuan  para  pelajar  tentang  cara  yang  betul  untuk menangani  situasi  kecemasan  apabila  mereka  berada di  rumah,  sekolah, mahupun  di  luar.  Justeru, ini merupakan langkah pertama untuk kita menyebarkan pengetahuan tentang “basic life support” kepada  pelajar  sekolah  menengah. Kami  juga  akan  mengadakan  klinik  bergerak  untuk  melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap warga emas di Pertubuhan Anak- Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah. Tidak  lupa  juga, Jamuan  Rakyat  dan  Forum  Perdana  kami  anjurkan  dengan  harapan  ia  akan mewujudkan  suasana harmoni  dan  mengeratkan  hubungan  silaturahim  antara  pihak  penganjur dengan masyarakat Temerloh. 

Program ini dianjurkan oleh pelajar perubatan daripada Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI)  dan pihak  kami telah  berkolaborasi  dengan  Yayasan  Dakwah  Islamiah  Malaysia (YADIM)  bagi menjayakan  aktiviti-aktiviti  yang  dirancang.  Selain  membekalkan  diri  kami  dengan  ilmu  perubatan, kami  percaya yang  seorang  doktor  perlu  menjadi  lebih  daripada  seorang  doktor.  Kami    berharap, kami  dapat  mempelajari  cara  berkomunikasi  yang  betul  dengan  orang  awam  seperti  agensi-agensi kerajaan  dan  pihak sekolah  serta  mempelajari  cara  bekerja  di  dalam  kumpulan  yang  berkesan semasa  menjayakan  program  ini.  Selain  itu,  kebanyakan  daripada  kami  (pelajar  perubatan) merupakan  pelajar  tajaan  kerajaan  Malaysia.  Oleh  itu,  kami  berasa  bertanggungjawab  untuk berkongsi  ilmu  dan  pengalaman  yang  kami  bawa  dari  negara  orang  untuk  dikongsikan  dengan penduduk  di  Malaysia. Kami  berharap  fasilitator-fasilitator  yang  terdiri  daripada  pelajar  perubatan ini dapat menjadi “role model” dan sumber inspirasi kepada para pelajar.